Followers

Monday, July 14, 2014

SIRI 4 : CARA KENALI SIKAP ORANG


Siapa yang tidak dibelenggu masalah apabila berhadapan dengan orang yang suka menipu atau memutarbelitkan setiap kenyataan.

Sikap sebegini juga membuatkan kita turut berhadapan masalah membabitkan kepercayaan dan kejujuran.

Memperkatakan soal kejujuran dan kepercayaan, ia sememangnya berkait dengan pelbagai hal dalam rutin kehidupan biarpun sewaktu bertemu orang tidak dikenali apatah lagi tatkala mahu mencari pekerjaan.

Justeru, analisis perlakuan sangat berguna dalam mengharungi kehidupan seharian, malah boleh dipelajari dengan mudah.
Foto
SHUHADA menegaskan ilmu analisa perlakuan penting dalam semua situasi atau bidang pekerjaan.

Menurut Pakar Terapi Warna dan Pembentukan Personaliti Master Yourself Revamp Your Life (MYRYL), Shuhada Alauddin, analisis perlakuan adalah satu kemahiran yang sangat penting untuk mengenali sikap orang di sekeliling dengan hanya melihat riak wajah, pertuturan dan gerak bahasa badan.

“Ada manusia yang suka menipu kerana ia sudah menjadi tabiat hingga terbawa-bawa apabila meningkat dewasa. Justeru, ilmu mengenai analisis perlakuan sangat berguna bagi melindungi diri kita daripada manusia yang suka menipu.

“Selain melindungi diri daripada penipu, ia juga berguna bagi meningkatkan keyakinan diri dan mengubah perlakuan ke arah positif untuk mengelak daripada kesilapan menghantar isyarat hingga menimbulkan persepsi negatif pada orang lain yang melihat,” katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa kategori dalam analisis perlakuan iaitu riak wajah, pertuturan dan gerak badan manakala perlakuan profil (menonjolkan diri) dapat dilihat menerusi kata-kata serta gerak mata. 


Pentingnya setengah saat

Perlakuan seseorang boleh dilihat menerusi riak pada bahagian mata, ­hidung, mulut, dahi dan ­hujung mata. Namun, sebelum menilai perlakuan individu itu, kita perlu tahu kebiasaan sikap dan perangai mereka.

“Riak wajah boleh dilihat dengan jelas untuk mengetahui emosi seseorang yang berada di depan kita sama ada mereka bersikap yakin, menipu atau bimbang.

“Misalnya apabila bertugas di bahagian jualan, kita boleh tahu sama ada pelanggan sedang mendengar atau bosan apabila mereka kerap memegang telinga dan hidung atau memberi tumpuan sepenuh­nya.

“Jika riak wajah pelanggan atau rakan di depan kita menunjukkan tanda kebosanan, berhenti bercakap mengenai topik sama dan tukar kepada perkara lebih menarik atau disukai,” katanya.

Tambahnya, kita perlu bijak dan pantas melihat reaksi wajah seseorang yang ditemui kerana ia hanya berlaku dalam tempoh 0.5 saat. Tempoh singkat itu penting bagi kita untuk memastikan sama ada berjaya menguasai perhatian dan kepercayaan mereka atau sebaliknya.

Selain itu, kita harus lebih berhati-hati jika orang yang sedang mendengar bicara menggosok belakang badan atau menunjukkan muka marah kerana mungkin ada fakta dan perkataan yang silap dituturkan pada mereka.

Bukan itu saja, mengenali riak wajah juga boleh digunakan untuk melihat reaksi majikan terutama ketika mesyuarat misalnya mengenal pasti sama ada majikan berminat dengan idea dicadangkan atau sebaliknya.


Mata

Jika kebiasaan seseorang itu gemar bercakap dengan melihat terus pada mata pendengar, itu tidak menjadi masalah. Namun, kita boleh lihat perbezaan sama ada dia bercakap benar atau tidak jika perangainya tampak berbeza seperti tidak tentu arah dan mata melilau ke arah lain.


Hidung

Kita boleh mengetahui pendengar bosan atau suka mendengar percakapan apabila mereka membuat reaksi yang menjengkelkan seperti menyengetkan hidung sebagai tanda menyampah atau meluat.
Selain itu, perlakuan yang jarang dilakukan seperti menggosok hidung turut memberi makna si pendengar atau yang bercakap berasa bimbang atau sedang menipu.


Mulut

Apabila bercakap dengan orang yang lebih berpengalaman daripada kita, cuba gunakan perkataan yang baik bagi mengelakkan mereka berasa seperti tidak dihormati.

Jika kita lihat ada antara rakan yang menyengetkan sedikit mulut mereka, pasti ada sesuatu yang tidak ­menyenangkan hati sama ada menerusi perkataan diucapkan atau menganggap kita sedang merendah-rendahkan diri mereka.

Untuk mengambil hati mereka kembali, cuba babitkan individu berkenaan dalam perbincangan seperti meminta pandangan jika dia memiliki idea bernas.


Dahi

Keikhlasan seseorang mungkin dapat dilihat ­menerusi dahinya. Caranya dengan melihat bahagian dahi seperti ketika senyum. Keikhlasan mereka dapat dilihat ketika melontarkan senyuman tanpa menimbulkan garis halus di dahi. Berbanding mereka yang senyum sekadar mahu mengambil hati, kerutan di dahi tampak sangat jelas.


Hujung mata

Apabila kita terkejut, kedua-dua mata akan memberi reaksi seiring dengan dahi seperti mata membulat dan dahi ternaik. Berbanding mereka yang takut, hanya mata saja yang menunjukkan reaksi seolah-olah terkejut.


Pertuturan

Cara pertuturan bukan saja dapat mengungkap sikap seseorang, malah ia juga dapat memberi tahu kita mungkin ada sesuatu perkara yang cuba disembunyikan.

Misalnya, mereka yang berbohong akan mengulangi perkataan sama atau persoalan yang diajukan kepada mereka ketika memberi jawapan berbanding kebiasaannya yang lancar menjawab setiap pertanyaan tanpa berselindung.

“Selain itu, ada juga yang cuba mahu menutup kesalahan dengan tidak membabitkan diri dalam penceritaan misalnya menjadi orang ketiga yang terbabit dalam kemalangan.

“Biasanya, mereka akan menceritakan mengenai keseluruhan situasi kemalangan tanpa membabitkan diri dalam kisah yang dikongsi bersama orang lain bagi menutup kesalahan,” katanya.

Tambahnya, ada juga yang mahu menutup kesalahan dengan hanya menceritakan kisah positif yang berlaku berbanding kesan negatif hasil daripada kesalahan.

Bukan itu saja, malah menerusi pertuturan kita boleh melihat perbezaan perlakuan seseorang sama ada mereka menjawab soalan diajukan dengan betul atau sebaliknya.


Gerak badan

Selain penampilan kemas, imej keyakinan diri seseorang itu juga dapat dilihat ketika mereka berdiri atau duduk. Berdiri tegak dengan kaki terbuka sedikit dan tangan tidak dimasukkan ke dalam poket menunjukkan ciri-ciri keyakinan seseorang.

Duduk dengan betul seperti badan tegak dan tangan di atas meja sambil digenggam juga boleh menonjolkan keyakinan diri. Jika suka melakukan gerak badan yang menonjolkan keadaan diri yang tidak yakin, ia boleh diubah dengan mengamalkan cara betul bagi mengelakkan persepsi negatif daripada majikan terutama ketika menghadiri sesi temu duga.

“Ketika menghadiri temu duga, cuba duduk tegak, menyengetkan sedikit kerusi dan duduk dengan posisi badan menegak sambil muka memandang tepat ke depan atau ke arah penemu duga.

“Posisi badan tegak dan memandang ke arah penemu duga menunjukkan tanda hormat dan seolah-olah memberitahu majikan kita boleh menerima sebarang arahan diberikan dengan baik.

“Sebaiknya, tangan di atas meja dan bukan di bawah kerana ia menunjukkan kita seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu perkara benar mengenai diri sendiri,” katanya.

Elak daripada bersandar sepenuhnya di kerusi dengan kaki bersilang ke belakang ketika duduk. Ia menunjukkan kita dalam keadaan gemuruh atau tidak mempunyai keyakinan tinggi.

Selain mempersiapkan diri dengan posisi yakin, kita juga dapat melihat sama ada majikan berminat dengan kita atau tidak menerusi reaksi penemu duga yang meletakkan tangan di muka bagi menunjukkan mereka memberi sepenuh perhatian ketika kita memperkenalkan diri.

Selain itu, sesi temu duga juga akan berlangsung dalam tempoh lebih panjang berbanding orang lain kerana majikan berminat dengan potensi yang ada dalam diri kita.

Bukan hanya untuk sesi temu duga, bahasa gerak badan boleh menentukan betapa seriusnya hubungan dengan pasangan yang baru dikenali.


Perlakuan profil

Analisa perlakuan profil yang bertujuan menonjol­kan kehebatan diri boleh diperbaiki menerusi ayat dan gerak mata untuk menarik minat orang lain ketika menyampaikan sesuatu penceritaan atau produk dengan cara yang lebih difahami serta berkesan.

Terdapat beberapa cara memahami pendengar menerusi cara mereka melihat tatkala mendengar. Antaranya:


- Visual

Mereka yang lebih gemar melihat ke atas adalah orang yang sukakan teknik visual. Mereka lebih suka jika kita menggunakan cara visual seperti menunjukkan carta bagi menarik perhatian dan minat mereka mendengar.


- Audio

Mata mendatar ke kiri atau ke kanan. Mereka lebih suka jika kita menggunakan audio dalam bentuk bunyian seperti video dan lagu ketika menyampaikan sebarang maklumat.


- Kaedah kinestatik

Individu ini suka menggerakkan mata ke kanan bawah yang bermaksud mereka lebih selesa jika diterangkan menggunakan contoh barang atau perlu merasa terlebih dulu produk diterangkan sebelum bersetuju untuk mendengar dan membeli. 


- Audio digital

Ketika mendengar atau bercerita, individu ini suka menggerakkan mata mereka ke kiri bawah yang menunjukkan mereka menyukai fakta. Justeru, kita perlu bijak mencari maklumat dan fakta bagi menguatkan kepercayaannya terhadap perkara yang dibincangkan.


Tambahnya, sesiapa saja yang bekerja atau perlu berkomunikasi dengan orang lain harus mempunyai ilmu mengenai perlakuan manusia bagi memudahkan diri melakukan sebarang bentuk urusan.

Tidak kira apa sekalipun kerjaya, ilmu mengenai analisis perlakuan sangat penting bagi mengelakkan diri berisiko ditipu atau tiada sefahaman dengan orang lain.

Sumber  :    http://cikgumoka.blogspot.com/2014/01/cara-mengenali-sikap-orang.html
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment