Followers

Tuesday, May 24, 2011

PILIHAN TEPAT ; INSTITUT KEMAHIRAN BAITULMAL




Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) ditubuhkan pada tahun 1991 oleh MAIWP bertujuan untuk membantu membasmi kemiskinan di kalangan keluarga Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Malaysia amnya dengan cara memberikan mereka mengikuti latihan kemahiran yang tersusun supaya mereka boleh berdikari setelah tamat mengikuti kursus di IKB.
      
 Di awal penubuhannya pada tahun 1991, IKB dikenali sebagai Pusat Latihan Fakir Miskin yang kemudiannya ditukar kepada Pusat Latihan Kemahiran Baitulmal (PLKB). Namun demikian melihat kepada perkembangan kursus dan tahap persijilan yang ditawarkan maka nama tersebut ditukar kepada Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) pada tahun 1995.

Penubuhan IKB adalah berdasarkan kepada objektif-objektif seperti berikut:
  • Menyediakan peluang latihan kemahiran kepada golongan berpendapatan rendah yang beragama Islam di Wilayah Persekutuan.
  • Membimbing pelatih supaya boleh berdikari dan bersedia menceburi bidang perniagaan.
  • Membantu mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja mahir dan separa mahir di sektor awam dan swasta.

Pihak IKB sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan yang selesa dan terkini kepada para pelatihnya. Antara kemudahan yang disediakan di IKB adalah seperti berikut:
  1. Elaun bulanan sebanyak RM350.00.
  2. Yuran pengajian dan bahan mentah percuma.
  3. Elaun tambang bas pergi dan balik dari rumah ke IKB (mereka yang tinggal di luar).
  4. Kemudahan asrama lengkap dengan kemudahan asas yang diperlukan.
  5. Bengkel kemahiran dan bilik kuliah yang selesa.
  6. Perpustakaan dan makmal komputer.
  7. Kemudahan riadah dan rekreasi.
  8. Dua pasang pakaian seragam disediakan.


MASA LATIHAN DAN SESI PENGAJIAN

Pelatih-pelatih akan mengikuti kelas amali dan teori sepenuh masa dari hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Sesi pengajian dibahagikan kepada dua semester iaitu Semester Pertama dari Januari hingga Jun manakala Semester Kedua dari Julai hingga Disember. Pelatih IKB diwajibkan mengikuti kursus selama dua tahun (4 semester) dan wajib mengikuti latihan praktikal selama tiga hingga enam bulan mengikut keperluan kursus masing-masing.

PERMOHONAN DAN SYARAT KEMASUKAN

Permohonan masuk ke IKB biasanya akan diiklankan di dalam akhbar tempatan, di masjid-masjid dan surau-surau di Wilayah Persekutuan pada bulan Ogos setiap tahun. Borang permohonan kemasukan boleh diperolehi dari pihak Institut sendiri atau memuat turun dari laman web Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ( www.maiwp.gov.my )  Semua permohonan akan ditapis, senarai pendek akan dibuat menerusi temuduga. Biasanya temuduga akan diadakan mengikut zon iaitu zon tengah, zon selatan, zon pantai timur dan zon utara. Pelatih yang diterima mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:
  1. Beragama Islam tanpa mengira bangsa.
  2. Pendapatan ketua keluarga adalah mengikut had kifayah yang ditetapkan oleh MAIWP
  3. Boleh membaca dan menulis dan sekurang-kurangnya tamat darjah 6.
  4. Terbuka kepada lelaki dan wanita yang sihat dari segi fizikal dan mental.
  5. Tidak pernah mengikuti mana-mana kursus kemahiran di institut kemahiran yang lain.

INSTITUT KEMAHIRAN BAITULMAL
Lot 1363, Jalan Perkasa, Taman Maluri
55100 Kuala Lumpur
Telefon : 03-92830385
Faksimili : 03-92811387

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment