Teori Pemilihan Kerjaya

Terdapat pelbagai teori kerjaya yang telah dibangunkan yang menjadi asas pengkaji dalam kajian mereka terhadap bidang kerjaya. Antara teori tersebut ialah teori kerjaya Islam, teori pemilihan kerjaya yang menggunakan pendekatan struktur yang memberikan penekanan kepada proses yang terlibat dalam pemilihan kerjaya yang mempunyai struktur yang amat jelas seperti teori Tret dan Faktor, teori Holland, teori Anne Roe dan teori Psikonalitik Bordin (Sidek Mohd Noah, 2002). Manakala teori Super yang diasaskan oleh Donald E.Super pula lebih dikenali menggunakan pendekatan proses.


Teori Kerjaya Islam

Teori Kerjaya Islam ini telah cuba dibangunkan oleh Sidek Mohd Noah (Sidek Mohd Noah, 2002). Teori ini melihat kerjaya sebagai satu kepentingan material dalam aktiviti kehidupan manusia di muka bumi. Tanpa asas kerjaya yang mantap dan kukuh, mungkin keseimbangan antara fitrah semulajadi manusia sama ada dari segi jasmani dan rohani atau antara mental dan emosi akan terganggu. Allah disamping menyuruh manusia beribadah kepada-Nya dengan tekun dalam masa yang sama menyeru manusia berusaha mencari rezeki yang halal. Bekerjaya adalah sunnah para Rasul terdahulu tanpa mengira taraf pekerjaan tetapi yang penting ianya adalah pekerjaan yang halal. Bekerjaya dalam Islam adalah salah satu ibadah dan merupakan amal soleh dengan syarat pekerjaan itu tidak melibatkan perkara yang haram atau maksiat, ia dilakukan dengan niat yang suci mengandungi matlamat dan objektif yang diredai Allah, dilakukan dengan tekun dan cekap, dilakukan dengan mematuhi piawian syariah Islam dan tidak mengabaikan kewajiban ibadah khusus seperti solat dan lain-lain.

Dua elemen asas dalam kerjaya Islam yang tidak dipunyai oleh teori-teori kerjaya Barat ialah kemantapan rohani dan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman. Kemantapan rohani dibentuk melalui cara niat yang baik, keazaman yang kuat, kesabaran yang tinggi, bertawakal kepada Allah dan istiqamah dalam pekerjaan. Elemen pengetahuan pula menuntut setiap individu yang bekerja mencari ilmu pengetahuan yang berkaitan kerana ilmu pengetahuan dikaitkan dengan darjat dan kualiti kerja seseorang. Islam menuntut supaya seseorang itu mengambil berat tentang kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pengurusan agar kerja yang dilakukan itu dapat dilakukan dengan baik dan sistematik. Setelah memiliki pengetahuan, kemahiran dan pengalaman individu perlulah tahu tentang cara dan kaedah untuk melaksanakan pekerjaan itu. Dalam hal ini individu yang terlibat mestilah mempunyai strategi tertentu di samping kemahiran dalam bidang teknologi agar kerja yang dihasilkan itu berkualiti.

Mengenai faktor-faktor pemilihan kerjaya, pengkaji berpendapat Islam tidak menolak faktor-faktor yang telah dikemukakan oleh para pengkaji Barat. Faktor yang boleh diterima Islam ialah seperti faktor genetik, pendidikan, pembelajaran dan persekitaran. Apa yang tidak menjadi pertimbangan para pengkaji Barat ialah faktor agama. Jesteru itu, pemilihan kerjaya Islam meletakkan faktor agama sebagai penentu akhir perkembangan dan pemilihan kerjaya individu. Faktor agama menentukan sama ada sesuatu pekerjaan itu halal, haram dan syubhah. Disamping itu, teori kerjaya Islam memberi penekanan yang seimbang antara kejayaan dan kepuasan duniawi dan akhirat, bukan semata-mata kejayaan di dunia sahaja seperti mana yang ditekankan oleh teori kerjaya Barat.

 

Teori Tret Dan Faktor

Teori ini merupakan teori yang tertua tentang pemilihan kerjaya. Ia dikenali dengan berbagai nama, tetapi yang popular ialah teori Tret dan Faktor (Osipow, 1973). Teori ini cuba menerangkan proses pemilihan kerjaya dengan berasaskan teori perbezaan peribadi individu. Teori ini percaya setiap individu yang wujud di dunia ini adalah berbeza dan unik. Teori ini mengandaikan bahawa setiap individu mempunyai corak kemampuannya yang unik, tret-tret tertentu yang dapat diukur dengan tepat, konsisten dan selaras serta mempunyai hubungan dengan keperluan-keperluan asas dalam beberapa jenis pekerjaan. Teori ini bersifat kognatif dengan penggunannya dapat mempermudahkan proses pemilihan kerjaya terutama maklumat yang tepat tentang diri individu dapat diperolehi. Teori ini berasaskan jangkaan terhadap penilai bakat dan sikap individu serta keperluan-keperluan dalam sesuatu pekerjaan. Parson (dlm. Sidek Mohd Noah) mencadangkan bahawa pemilihan kerjaya yang baik perlu melibatkan tiga pekara iaitu kefahaman yang jelas tentang diri, pengetahuan tentang pekerjaan-pekerjaan dan taakulan yang tepat tentang hubungan antara kedua-dua fakta tersebut. Teori ini juga menegaskan bahawa tugas utama dalam proses membuat pemilihan kerjaya adalah untuk memadankan individu dengan sesuatu pekerjaan. Dengan cara ini, keperluan individu akan dipenuhi dan pencapaian kerja yang memuaskan akan terhasil.


Teori Holland.

Teori Pemilihan Kerjaya Holland merupakan hasil kajian Holland terhadap personaliti yang memfokus kepada tipologi dan banyak dipengaruhi oleh Tret dan Faktor. Teori ini dibentuk berasaskan andaian bahawa minat vokasional adalah satu daripada aspek personaliti dan oleh yang demikian deskripsi tentang minat individu juga menggambarkan personaliti seseorang. Tret-tret personaliti biasanya dikenal pasti melalui kecenderungan terhadap matapelajaran sekolah, aktiviti-aktiviti rekreasi, hobi dan kerja, sementara minat vokasional boleh digambarkan sebagai ekspresi personaliti (dalam Sidek Mohd Noah, 2002)

Teori Holland telah mengketegorikan individu kepada salah satu daripada enam kategori yang diberikan oleh Holland berdasarkan pengamatannya terhadap budaya masyarakat Amerika. Enam personaliti tersebut ialah Realistik (R), Investigatif (I), Artistik (A), Sosial (S), Enterprising (E) dan Conventional (C). Setiap jenis personaliti terbentuk hasil daripada interaksi antara pelbagai desakan kebudayaan dan personal termasuklah rakan sebaya, pewarisan biologi, keluarga, kelas sosial, budaya dan persekitaran fizikal daripada interaksi antara individu dengan faktor-faktor ini, individu akan menyukai aktiviti-aktiviti tertentu dan tidak kepada aktiviti-aktiviti yang lain. Seterusnya, aktiviti-aktiviti ini kian diminati dan minat ini mendorong kepada pembentukan kumpulan kecekapan tertentu. 

Berdasarkan kepada enam kategori individu tersebut, Holland (Zunker, 1994, Osipow, 1973, Sidek Mohd Noah, 2002) telah mencadangkan enam personaliti individu yang boleh dipadankan dengan pekerjaan tertentu, iaitu:


i. Realistik atau agresif

sesuai dengan kerja-kerja berat yang memerlukan kemahiran dan masculinity. Individu realistic biasanya akan memilih kerjaya yang akan membenarkan mereka mengekspresi segala ciri yang dimiliki oleh mereka. Kerjaya yang mereka pilih adalah seperti mekanik, juruteknik, tukang kayu dan lain-lain. Ciri-ciri yang dimiliki mereka ialah tidak sosial, akur, jujur, tulen, keras kepala, materialistic, keras hati, tidak menyendiri dan lain-lain.


ii. Investigatif atau intelektual

sesuai dengan pekerjaan yang lebih memerlukan pemikiran dari perbuatan seperti ahli kimia, doktor dan lain-lain. Individu investigative mempunyai ciri-ciri analitikal, berhati-hati, kritikal, kompleks, ingin tahu, rasional, menyisih diri, pendiam dan lain-lain.
iii. Artistik atau imaginative - artis, sama ada dalam bidang muzik atau seni. Individu artistic menyukai aktiviti-aktiviti yang kabur, bebas dan tidak sistematik yang memerlukan mereka memanipulasi bahan-bahan dan perkataan, disamping menghindari aktiviti-aktiviti yang eksplisit, sistematik dan berperaturan. Ciri-ciri yang mereka miliki ialah rumit, tunggang tebalik, emosional, ekspresif, idealistic, imaginative, bebas, intuitif dan lain-lain.


iv. Sosial

individu sosial akan memilih aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan memanipulasi orang lain seperti memberitahu, melatih, mendidik, memperkembang dan mengubati disamping menghindari aktiviti-aktiviti eksplisit, berstruktur dan aktiviti yang melibatkan bahan, peralatan dan mesin. Mereka mempunyai ciri-ciri seperti berpengaruh, berkerjasama, sabar, peramah, pemurah, suka menolong, idealistic, empati, baik hati dan lain-lain. Mereka meminati kerjaya seperti pendidik, ahli psikologi, pegawai kebajikan dan kaunselor.


v. Enterprising atau extrovert

individu enterprising menyukai aktiviti-aktiviti memanipulasi orang lain seperti mengarah, membujuk dan memimpin untuk mencapai matlamat organisasi dan keuntungan ekonomi disamping menghindari aktiviti-aktiviti pemerhatian, simbolik dan sistematik. Mereka mempunyai ciri-ciri seperti sukakan pencapaian, suka mengembara, mudah bersetuju, bercita-cita tinggi, angkuh, bertenaga, suka menunjuk, menggembirakan, berusaha, yakin diri dan lain-lain. Kerjaya yang mereka pilih ialah seperti ahli politik, pengurus, eksekutif dan perniaga.


vi. Conventional atau praktikal

individu conventional memiliki minat, kecekapan, persepsi diri dan mempunyai ciri-ciri seperti berhati-hati, akur, teliti, defensif, cekap, sukar dilentur, memendam rasa, tabah hati, praktikal, cermat dan lain-lain. Mereka memilih kerjaya seperti kerani, setiausaha atau operator.

Teori Holland telah memberi sumbangan dan telah diaplikasikan dengan meluas dalam pelbagai bidang seperti membantu dalam pemilihan kerjaya, penyelidikan dalam sains sosial, pendidikan, perniagaan dan perindustrian. Alat-alat ukuran untuk mengukur jenis personaliti serta aspek-aspek lain telah dirangka dan diperkenalkan seperti Vocational Preference Inventory (VPI), Self-Directed Search (SDS), Vocational Exploration and Insight Kit (VEIK) dan My Vocational Situation Inventory (MVS) (Sidek Mohd Noah, 2002).



Teori Super

Teori ini lebih mementingkan konsep kendiri dalam menentukan arah tuju individu dalam bidang pekerjaan. Menurut Super (Isaacson & Brown, 1993), konsep kendiri ini berkembang melalui pertumbuhan fizikal dan mental, pemerhatian terhadap pekerjaan, hubungan dengan orang dewasa yang bekerja, persekitaran dan pengalaman. Dimensi-dimensi ini mewujudkan perbezaan dan persamaan antara individu dan dapat membantu seseorang memilih kerjaya yang sesuai. Selain itu, Super turut menjelaskan bahawa dalam perkembangan kerjaya, individu mengambil kira faktor-faktor seperti keperluannya, kebijaksanaan, minat, nilai, sikap, keluarga, rakan sebaya, masyarakat, ekonomi negara, pasaran buruh dan sekolah.

Dalam pemilihan kerjaya ini, Super (dlm. Ishamumudin Hj. Ismail, 1997) telah menekankan wujudnya beberapa peringkat perkembangan kerjaya seperti peringkat perkembangan, penerokaan, pemantapan, persaraan dan peringkat menurun. Peringkat perkembangan menjelaskan mengenai pembentukan konsep kendiri oleh seseorang individu dengan mengenal pasti orang-orang yang signifikan dalam keluarga dan sekolah. Mereka pada peringkat ini akan menonjolkan minat dan kebolehan dengan menceburi dirinya dalam aktiviti-aktiviti sosial di sekolah atau di rumah. Super telah membahagikan peringkat ini kepada tiga bahagian, iaitu:


a. Bahagian fantasi - 4 hingga 10 tahun

b. Bahagian minat - 11 hingga 12 tahun

c. Bahagian kebolehan - 13 hingga 14 tahun


Peringkat penerokaan pula adalah peringkat di mana individu itu berada dalam lingkungan 15 hingga 24 tahun. Dalam peringkat ini, Super membahagikannya kepada tiga bahagian:


Bahagian tidak tetap - 15 hingga 17 tahun

Bahagian peralihan - 18 hingga 21 tahun

Bahagian percubaan - 22 hingga 24 tahun


Dalam peringkat ini, peranan yang dimainkan oleh pihak keluarga dan sekolah adalah amat penting. Di peringkat ini, individu akan cuba-cuba untuk bekerja secara sambilan untuk menerokai dunia pekerjaan yang sebenar. Ketika ini jugalah individu mencari kerjaya yang sesuai dan yang mereka minati.

 

f. Teori Anne Roe

Teori ini telah diperkenalkan oleh Anne Roe yang merupakan seorang yang terlatih sebagai ahli psikologi klinikal. Beliau kemudiannya menceburi bidang pembangunan kerjaya melalui penyelidikan yang dilakukannya (Osipow, 1973). Teori Roe mengintergrasikan teori personaliti dengan klasifikasi pekerjaan. Teori ini menumpukan kepada dua bahagian iaitu personaliti dan klasifikasi pekerjaan bertujuan untuk melihat hubungan semua bidang pekerjaan dengan latar belakang keluarga dan pengalaman layanan ibu bapa semasa kanak-kanak. Menurut Roe (Zunker, 1986), pengalaman awal kanak-kanak di rumah bersama ibu bapa merupakan asas kepada pembentukan personaliti dan sikap individu terhadap pemilihan termasuklah pemilihan kerjaya. Kanak-kanak menjadikan peranan dan tingkah laku ibu bapa sebagai model peranan dan tauladan. Teori pemilihan kerjaya Roe menyenaraikan tiga faktor yang mempengaruhi pemilihan kerjaya individu. Faktor-faktor tersebut ialah latarbelakang genetik, pengaruh tenaga psikik serta pengaruh genetik dan hieraki keperluan individu (Sidek Mohd Noah, 2002).

Menurut Roe (dlm. Sidek Mohd Noah, 2002, Osipow, 1973), faktor latar belakang genetik mempengaruhi minat, kecerdasan, sikap dan personaliti individu yang akhirnya akan mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang. Selain itu, ia turut mempengaruhi sifat fizikal individu seperti ketinggian, kecantikan dan kecacatan individu. Individu yang rabun warna sudah tentu tidak sesuai untuk menjadi ahli kimia.

Manakala faktor pengaruh tenaga psikik pula merupakan perkembangan keupayaan khas seseorang individu ditentukan oleh ke arah mana tenaga psikik diperkembangkan di luar kawalan atau tanpa sedar. Arah perkembangan ini pula terlebih dahulu ditentukan oleh bentuk kepuasan dan kekecewaan yang dialami oleh individu pada zaman kanak-kanak. Pada peringkat kanak-kanak, keperluan yang paling asas ialah keperluan untuk rasa dimiliki dan ini akan kekal sebagai elemen-elemen tidak disedari oleh individu tersebut. Keperluan tidak sedar ini akan membentuk tenaga psikik dan seterusnya akan mempengaruhi bidang kerjaya individu.

Pengaruh faktor genetik dan perkembangan hieraraki keperluan mempengaruhi pemilihan kerjaya individu. Antara keperluan utama yang dikenal pasti oleh Maslow ialah keperluan fasiologikal, keselamatan, kasih sayang, penghargaan kendiri dan kesempurnaan kendiri. Apabila keperluan asas telah dipenuhi, keperluan yang lebih tinggi terbentuk dan keperluan ini akan terus meningkat sehingga mencapai keperluan yang paling tinggi iaitu kesempurnaan kendiri. Keperluan yang kuat untuk memenuhi sesuatu keperluan merupakan sumber motivasi yang sangat kuat yang akan menggerakkan individu.

Roe (Zunker, 1986) telah mengklasifikasikan kerja kepada dua kategori utama iaitu person oriented dan non-person oriented. Pekerjaan yang bersifat person oriented adalah seperti perkhidmatan, hubungan perniagaan, pengurusan (pengurusan dalam kerajaan, industri, perniagaan), budaya secara umum (mengajar, menteri, wartawan), keseniaan dan persembahan. Manakala pekerjaan yang bersifat non-person oriented pula ialah pekerjaan yang berkaitan teknologi, kerja-kerja luar (pertanian, perhutanan, perlombongan) dan sains. Pemilihan kerjaya tersebut mengikut Roe ditentukan oleh tahap keupayaan individu dan laterbelakang sosio-ekonomi. Kemuncak kepada hubungan antara anak dan ibubapanya merupakan faktor pengerak utama keinginan minat dan sikap yang kemudiannya mengrefleksikan pemilihan kerjaya seseorang.

Sumber : 

Info ini diambil dari pelbagai info dan pembacaan. Sila rujuk pensyarah atau pakar akademik untuk mengesahkannya. Info ini hanya sebagai rujukan awal secara sepintas lalu sebagai pengetahuan umum.